ODEN dan isterinya, Jamilah kali pertama terpilih mengerjakan ibadat haji. FOTO Mohamad Husin
ODEN dan isterinya, Jamilah kali pertama terpilih mengerjakan ibadat haji. FOTO Mohamad Husin
Tetamu Allah

SEPANG: “Selepas bersara daripada tentera, saya dan isteri bekerja sebagai penoreh getah dan hasil pendapatan itu saya simpan dalam Tabung Haji (TH).

“Selain mengambil upah menoreh, saya turut membela 15 kambing, 100 arnab dan 130 ayam kampung bagi menambah pendapatan,” kata bakal haji, Oden Ismail, 62.

Oden dan isterinya, Jamilah Sukedi, 61, dari Kampung Bakar Bata, Ayer Tawar, Manjung, Perak bersyukur kerana terpilih untuk menunaikan haji tahun ini.

“Kami bukan saja bersyukur malah terharu kerana impian untuk menunaikan haji dimakbulkan Allah SWT,” katanya ditemui Harian Metro di Kompleks TH di sini, semalam.

Pasangan berkenaan antara 483 jemaah yang berlepas menerusi penerbangan KT18 (XY5670) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah, jam 2.30 petang semalam dan dijangka tiba jam 6 petang (waktu Arab Saudi).

Menurut Oden, selepas bersara, dengan tugas terakhirnya di Sri Aman, Sarawak pada 1998, dia dan isteri mengambil upah menoreh getah di tanah seluas 1.2 hektar di kampung mereka.

“Hasil menoreh, kami mendaftar dengan TH pada 2008 dengan harapan dapat menunaikan haji.

“Setiap kali menerima upah menoreh getah antara RM50 hingga RM150, saya akan simpan sedikit ke dalam TH.

“Minggu lalu, seorang pemborong membeli semua arnab yang kami ternak dan ia membantu menampung perbelanjaan kami di Tanah Suci nanti,” katanya.

Rasa syukur turut diluahkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 20, Pahang, Mohd Anuar Ahmad, 55, dan isteri, Siti Mariam Darus, 50, kerana terpilih menjadi tetamu Allah SWT.

Mohd Anuar berkata, mereka mendaftar dengan TH pada 2008 dan mula menabung melalui potongan gaji.

“Pada masa sama, hasil jualan getah di tanah seluas empat hektar peninggalan arwah bapa turut saya simpan untuk ke Tanah Suci,” katanya.

JAMILAH memeriksa kelengkapan ke Makkah sebelum bertolak di Kompleks TH, semalam. FOTO Mohamad Husin
JAMILAH memeriksa kelengkapan ke Makkah sebelum bertolak di Kompleks TH, semalam. FOTO Mohamad Husin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 2:26 PM