KAPAL USS John S McCain tiba di pangkalan tentera laut Changi. FOTO AFP
KAPAL USS John S McCain tiba di pangkalan tentera laut Changi. FOTO AFP
iIbrahim Isa dan Mohd Sabran Md Sani


TIADA sebarang tumpahan minyak berlaku akibat pelanggaran kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain dengan kapal tangki minyak Alnic MC berhampiran Pulau Batu Putih, hari ini.

Pihak berkuasa Pelabuhan dan Maritim Singapura dalam satu kenyataan kepada Reuters berkata, pihaknya menjalankan siasatan dan mendapati tiada sebarang kecederaan dialami anak kapal Alnic MC.

"Sebahagian tangki kapal itu mengalami kerosakan akibat pelanggaran berkenaan namun tiadak kerosakan serius dilaporkan malah tiada tumpahan berlaku.

"Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang aduan berkaitan pencemaran minyak dan semua perjalanan kapal di laluan berkenaan tidak terjejas," katanya,

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, operasi dilaksanakan lebih kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Setakat ini tiada laporan mengatakan terdapat tumpahan minyak.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan kapal tentera Amerika Syarikat dilaporkan sudah dibawa ke Singapura untuk pembaikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, kejadian itu berlaku di perairan Malaysia dan Kuala Lumpur memberikan bantuan bagi mengesan 10 anak kapal USS John S McCain yang hilang dalam kejadian berkenaan.

Berita berkaitan

4 sektor kawasan pencarian

TLDM, APMM bantu cari kelasi

10 anak kapal USS John S McCain hilang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 8:40 PM