NEIL Armstrong dan Buzz Aldrin memacakkan bendera AS di atas bulan pada 1969. FOTO AFP
NEIL Armstrong dan Buzz Aldrin memacakkan bendera AS di atas bulan pada 1969. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Amerika Syarikat (AS) dan China sedang berunding mengenai cara untuk melindungi jejak Neil Armstrong dan kesan lain manusia pertama yang menjejaki bulan, dedah seorang penyelidik China.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Li Hongbo, seorang penyelidik kanan dan timbalan ketua jurutera di Perbadanan Sains dan Teknologi Aeroangkasa China, memberitahu demikian ketika temubual di stesen penyiaran CCTV.

Li mengatakan bahawa tiada sebab untuk bimbang mengenai misi pendaratan bulan oleh kenderaan jelajah angkasa lepas China, Yutu-2 akan memusnahkan jejak manusia pertama yang ditinggalkan di bulan 'pada masa ini'.

Tetapi, semasa wawancara pada Isnin, beliau berkata, sejak China mula meneroka permukaan bulan, AS sudah 'sangat bersemangat' mengenai perbincangan 'cara melindungi peninggalan sejarah manusia di bulan', termasuk bendera AS yang dipacak oleh kru Apollo 11 pada 1969.

"Apabila anda berkuasa, orang datang kepada anda untuk berunding. Sebelum ini, tiada siapa yang akan datang untuk bercakap mengenai perkara ini.

"Jika mendarat di bulan hanyalah keupayaan teknologi AS yang eksklusif, AS tidak perlu memikirkan mengenai pemilikan mineral di bulan atau siapa yang akan memusnahkan tapak bersejarahnya.

"Sekarang China mempunyai keupayaan untuk mendarat di bulan, AS tiba-tiba menyedari perkara isu ini perlu dibincangkan dan itulah sebabnya kebimbangan ini timbul," kata Li.

Pada 2020, Amerika Syarikat meluluskan undang-undang yang dipanggil One Small Step to Protect Human Heritage in Space Act untuk melindungi tapak pendaratan Amerika di bulan, tetapi ia hanya terpakai kepada sebilangan kecil syarikat yang bekerja dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Yutu - atau Arnab Jade - dinamakan sempena haiwan yang dalam mitos Cina hidup di bulan bersama dewi Chang'e, yang dinamakan program lunar China.

Ia mendarat di permukaan bulan pada Disember 2013, menjadi rover pertama yang beroperasi di sana sejak Soviet Lunokhod 2 berhenti beroperasi pada 1973.

Rover China itu bertahan selama lebih 900 hari, jauh melebihi jangka hayatnya selama tiga bulan.

Penggantinya, Yutu-2, kemudian menjadi rover pertama yang mendarat di bahagian jauh bulan pada Januari 2019.

China dan AS berlumba-lumba untuk menjadi negara pertama menghantar semula angkasawan ke bulan sejak program Apollo berakhir pada awal 1970-an.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 2:47 PM