Adon menunjukkan lokasi pelanggaran kapal USS John S Mc Cain di 4.5 batu nautika Perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
Adon menunjukkan lokasi pelanggaran kapal USS John S Mc Cain di 4.5 batu nautika Perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
Mohd Sabran Md Sani dan Omar Ahmad


KAWASAN operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 kru kapal perang pemusnah milik Amerika Syarikat (AS), USS John S McCain yang bertembung dengan kapal dagang, Alnic MC di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi semalam, diperluaskan ke 352 batu nautika persegi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Adon Shalan berkata, pihaknya memperluaskan kawasan SAR kepada 352 batu nautika persegi sekitar Perairan Teluk Ramunia, Pengerang berbanding 100 batu nautika kawasan pencarian semalam.

Katanya, sektor pencarian juga diperluaskan kepada sembilan sektor berbanding empat sektor sebelum ini.

"SAR dimulakan jam 7 pagi ini sedikit sukar kerana keadaan cuaca yang mendung serta tiupan angin 20 hingga 30 kilometer sejam dan ombak yang mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.

"Kekuatan seluruh anggota yang menjalankan SAR ialah 310 dengan 11 aset kapal dan bot dari pelbagai agensi termasuk APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Polis Marin," katanya ketika ditemui pada sidang media di Jeti Marina Tanjung Pengelih, Johor, hari ini.

Menurut Adon, setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui di kawasan pencarian dan SAR akan diteruskan dalam beberapa hari dan tidak menolak kemungkinan untuk menambah aset mengikut keperluan.

"Kita juga sudah membuat hebahan kepada pelaut dan kapal dagang berkaitan kawasan pencarian dan telah meminta mereka untuk bekerjasama sekiranya terjumpa petanda sama ada mayat atau serpihan untuk memaklumkan terus kepada pihak kami.

Berita berkaitan:

10 anak kapal USS John S McCain hilang

Insiden kedua kapal USS berlanggar

TLDM, APMM bantu cari kelasi

4 sektor pencarian

Tiada tumpahan minyak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 7:12 PM