JIE Lee-Valeree ketika beraksi menentang Thailand. FOTO Ihsan Sukan KPT
JIE Lee-Valeree ketika beraksi menentang Thailand. FOTO Ihsan Sukan KPT
Syafiq Aznan di


Surabaya: Skuad badminton berpasukan wanita gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Ubon Ratchathani selepas tumbang di tangan Thailand pada aksi final Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala Universitas Negeri Malang, hari ini.

Skuad bimbingan Datuk Rashid Sidek itu terpaksa akur dengan kehebatan Thailand selepas gagal mencuri sebarang mata apabila tewas dengan keputusan 0-3 sekali gus perlu berpuas hati dengan pingat perak, kali ini.

Ia bagaikan mengulangi keputusan di peringkat liga sepusingan sebelum ini yang menyaksikan mereka hanya berjaya mendapat satu mata menerusi beregu pertama sebelum tewas 1-4.

Perseorangan wanita pertama, Yi Xing Ung tewas 21-9,21-13 di tangan Pornpicha Choeikeewong untuk mata pertama buat Thailand.

Pichamon Phatcharaphisutsin-Atitaya Povanon yang tewas di tangan gandingan negara, Xin Jie Lee-Valeree Siow pada aksi liga berjaya membalas dendam dalam aksi yang berlangsung sengit sebelum gandingan Thailand itu meraih kemenangan 21-19, 22-24, 21-18.

Hasrat Malaysia untuk bangkit menerusi perseorangan wanita kedua, N Saranya bagaimanapun tidak kesampaian apabila pemain negara itu tewas 21-6, 21-13 di tangan Thithiphon Klomyong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 2:47 PM