KAPAL USS John S McCain dan Alnic MC (gambar kecil).
KAPAL USS John S McCain dan Alnic MC (gambar kecil).
Hayati Ibrahim


OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) 10 anak kapal USS John S McCain yang hilang selepas bertembung dengan kapal tangki minyak di perairan Teluk Ramunia, hari ini membabitkan kawasan seluas 100 batu nautika persegi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata, ia dibahagikan kepada empat sektor membabitkan kawasan 25 batu nautika persegi setiap satu.

Katanya, operasi SAR turut membabitkan agensi maritim lain termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"Sebanyak 10 aset laut dan udara sudah digerakkan ke lokasi kejadian untuk mencari dan menyelamat anak kapal membabitkan kapal dan bot dari Maritim Malaysia, TLDM, PPM, JLM dan aset udara dari Maritim Malaysia serta Seahawk dari USS John S Mccain.

"Selain itu, Singapura dan Amerika Syarikat turut menggerakkan asetnya seperti RSS Gallant, RSS Resilience dari Tentera Laut Singapura dan Basking Shark dari Polis ‘Coast Guard’ Singapura sudah berada di lokasi kejadian, malah pihak Indonesia juga sudah menyertai misi ini dengan menghantar KRI Parang dan KRI Cucuk dari Tentera Laut Indonesia,"katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian kira-kira 8 pagi dari kapal TLDM KD Handalan.

"Selepas kejadian, USS John S Mccain berlayar ke Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura kerana mengalami kebocoran pada sebelah kiri kapal manakala kapal Alnic MC juga turut berlayar ke pengakalan sama untuk siasatan lanjut.

"Tiada tumpahan minyak dilaporkan di lokasi kejadian.

"Setakat ini, nasib 10 anak kapal berkenaan belum diketahui manakala lima anak kapal yang cedera sudah dihantar ke hospital di Singapura untuk mendapatkan rawatan, dan semuanya berada dalam keadaan stabil.

"Malah, seorang daripadanya hanya dirawat sebagai pesakit luar,"katanya.

Harian Metro melaporkan 10 anak kapal hilang manakala lima cedera selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) itu bertembung dengan kapal tangki minyak di timur Johor , hari ini.

Ia kejadian kedua membabitkan kapal tempur Tentera Laut AS di perairan Asia dalam masa dua bulan.

Berita berkaitan

TLDM, APMM bantu cari kelasi

10 anak kapal USS John S McCain hilang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 4:08 PM