Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU van mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menolong menyembunyikan harta curi iaitu wang tunai RM50,000, pada Mac lalu.

Tertuduh, Y Karthik, 25, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Hayati Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menolong menyembunyikan, memindahkan atau menghapuskan harta curi iaitu wang RM50,000 di Maybank Mantin, Nilai, pada 10 Mac lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menghubungi seorang wanita meminta memasukkan wang RM50,000 bagi membebaskan suaminya daripada tuduhan dadah kononnya dengan keizinan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Tertuduh turut memberi wanita itu bercakap dengan suaminya yang merayu mencari wang untuk dibebaskan, sebelum wanita itu ke bank dan memasukkan wang ke akaun diberikan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu untuk dibenarkan ikat jamin terlebih dahulu bagi membolehkan dia melantik peguam sebelum hukuman dijatuhkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 13 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:52 PM