TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah lebih RM1.28 juta. FOT Nuraliawati Sabri
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah lebih RM1.28 juta. FOT Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah bernilai lebih RM1.28 juta.

Tertuduh Kingsley Wambeck, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang jualan rumah milik warga emas berusia 79 tahun bernilai RM340,000 bagi kegunaan sendiri antara 13 Julai hingga 8 Oktober 2020.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh sebagai peguam diamanahkan dengan harta iaitu wang bagi pembayaran pembelian tanah berjumlah RM945,950 yang dibayar melalui akaun bank ke firma guaman miliknya melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 1 Julai 2016 hingga 31 Julai tahun sama dan kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di firma guamannya di Bukit Beruang, di sini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad mencadangkan jumlah jaminan RM50,000 diberikan kepada tertuduh bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira faktor kerugian dialami mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan RM30,000 bagi pertuduhan kedua selain menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Tertuduh diwakili peguam Goh Chin Han.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 2:35 PM