MUSA dalam sidang media mengenai Program Rehiring Sabah 2017. FOTO Edmund Samunting
MUSA dalam sidang media mengenai Program Rehiring Sabah 2017. FOTO Edmund Samunting
Junaidi Ladjana


HANYA dua peratus daripada sasaran 50,000 pekerja warga asing didaftarkan oleh majikan mereka sepanjang Program Pengajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (Rehiring Sabah 2017), yang dilaksanakan sejak 16 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Musa Sulaiman berkata, jumlah itu jauh daripada sasaran selepas hanya 1,088 pekerja warga asing yang didaftarkan.

"Program ini dilaksanakan Syarikat Inti Padu Technonoly Sdn Bhd sejak 16 Februari lalu dan setakat ini, hanya dua peratus iaitu seramai 1,088 pekerja warga asing yang didaftarkan.

"Bagaimanapun, majikan yang belum mendaftarkan pekerja warga asing mereka menerusi program ini masih boleh berbuat demikian sehingga esok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Musa berkata, kegagalan majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka menerusi program Rehiring Sabah 2017 ini bakal berdepan tindakan tegas.

"Kita menyediakan platform atau program bagi memudahkan mereka (majikan) mendaftar pekerja warga asing mereka dan ia sepatutnya dimanfaatkan.

"Selepas program ini tamat, kita akan melakukan kajian mengapa ia tidak mendapat sambutan seterusnya mengambil tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Musa berkata, Jabatan Imigresen Sabah sudah melaksanakan sebanyak 793 operasi bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 23,563 pemeriksaan dibuat membabitkan 2,738 tangkapan warga asing.

"Pada masa sama, kita juga sudah menahan 60 majikan yang didapati menggaji warga asing secara haram dan melindungi warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 11:10 AM