ANTARA kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
ANTARA kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
Siti Nor Hidayatidayu Razali


DUA sahabat maut dan dua mangsa lain cedera dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 7 Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, dekat Kampung Paloh, Tanah Merah, malam tadi.

Dalam kejadian 8.16 malam itu, mangsa, Mohamad Fikri Firdaus Mat Deris, 25, dan rakannya, Shafiq Safwan Mohd Foza, 26, yang menaiki Toyota Corona maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Pasir Mas ke Tanah Merah dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, pada masa yang sama, Proton Persona dipandu guru lelaki usia 53 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan kenderaan dua sahabat berkenaan merempuh keretanya.

"Kejadian itu menyebabkan Toyota Corona berpusing dan melanggar Toyota Vios dipandu wanita berusia 31 tahun di belakang Proton Persona.

"Akibat perlanggaran itu, Toyota Vios terbabas ke gaung sebelah kiri dan pemandu Toyota Corona serta penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 2:51 PM