Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (kanan) dan Pengarah Eksekutif I-Berhad, Boon Soon di hadapan mercu tanda Finance Avenue di i-City.
Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (kanan) dan Pengarah Eksekutif I-Berhad, Boon Soon di hadapan mercu tanda Finance Avenue di i-City.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: I-Berhad, pemaju induk i-City Golden Triangle bersedia untuk melangkah ke hadapan dengan yakin apabila mencatatkan prestasi

positif dalam aktiviti perniagaannya.

Trafik pengunjung di pusat beli-belah Central i-City kembali pada tahap 90 peratus sebagaimana pada 2019.

Berikutan peralihan kepada fasa endemik, taman tema riadah itu telah kembali mencatatkan keuntungan dengan prestasi kembali seperti sebelum pandemik.

I-Berhad dalam kenyataan berkata, Pusat Konvensyen i-City (iCCC) terus mencatatkan tempahan lebih baik, terutama berikutan permintaan tertangguh kerana acara dan aktiviti tidak dapat diadakan sejak dua tahun lalu.

Di Best Western i-City, penghunian pada masa ini mencapai 65 peratus, manakala tempahan untuk bilik tarian dan bilik majlis di 300 bilik DoubleTree by Hilton yang akan datang, telah ditempah dalam dua minggu pertama pembukaan hotel, yang dijadualkan pada Ogos 2022.

Bagi projek BeCentral setinggi 52 tingkat yang menawarkan rumah mewah dan disasarkan untuk dilancarkan pada Q3 2022, telah menerima tempahan menggalakkan, manakala Mercu Maybank, Menara Pejabat Korporat Pintar Gred A 33 tingkat di Finance Avenue di i-City, merekodkan 82 peratus ruang disewakan.

Bagi suku pertama 2022, I-Berhad mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.7 juta, berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong berkata, pihaknya yakin dapat mencapai prestasi lebih baik pada tahun ini.

"Kami yakin boleh mencapai kejayaan dan akan melihat tanda-tanda peningkatan dalam tahun ini," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

Pada EGM berkenaan, pemegang saham meluluskan lanjutan RM201 juta RCUL untuk 5 tahun lagi.

Pelanjutan itu akan menyediakan pembiayaan untuk meneruskan rancangannya untuk menjadi modal pasaran berbilion ringgit.

Pelan yang dikongsi bersama pemegang saham membabitkan pendekatan empat serampang.

Selain membina semula saluran pembangunan hartanahnya untuk mencapai RM300 juta hasil tahunan, Kumpulan juga akan menambah baik hasil portfolio pelaburan hartanahnya yang bernilai RM1 bilion.

Selain itu, terdapat juga pelaburan besar dalam teknologi digital untuk mengekalkan i-City sebagai Bandar Teknologi Nombor 1 dan menyediakan pengalaman Metaverse untuk taman tema itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 6:53 PM