ANGGOTA SPRM dipercayai mengambil dokumen penting bagi membantu siasatan  pembelian dua hotel oleh FIC di Menara Felda, Kuala Lumpur.
ANGGOTA SPRM dipercayai mengambil dokumen penting bagi membantu siasatan pembelian dua hotel oleh FIC di Menara Felda, Kuala Lumpur.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa hampir tujuh jam mengumpul dokumen yang dibawa dalam sekurang-kurangnya dua beg dipercayai ada kaitan dengan pembelian dua hotel oleh Felda Invesment Corporation (FIC) di Menara Felda di sini, semalam.

Ia diambil bagi membantu siasatan pembelian hotel di Kensington, London, United KIngdom (UK) dan di Kuching, Sarawak.

Pasukan penyiasat yang dianggotai empat pegawai SPRM tiba di Menara Felda dan memasuki bangunan berkenaan jam 10.17 pagi.

Mereka dilihat keluar dari menara itu jam 5 petang dan difahamkan, dokumen berkenaan dibawa ke pejabat SPRM di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel di Kuching yang disyaki dibeli pada harga lebih tinggi daripada pasaran.

Sehingga kini, empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan pada 2014.

SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:46 AM