HOTEL yang dibeli FIC di Kensington, London.
HOTEL yang dibeli FIC di Kensington, London.

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel empat bintang di Kensington, London oleh FELDA Investment Corporation (FIC) antara 2013 dan 2015.

SPRM dalam kenyataan berkata, siasatan itu dibuat selepas SPRM mendapat maklumat baharu berhubung perkara berkenaan.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad sudah mengarahkan pasukan penyiasat untuk membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan.

“Pasukan penyiasat juga sudah mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel itu dan kini dalam proses menilai serta meneliti semua maklumat yang diperoleh.

“Menerusi maklumat siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit,” katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan terperinci juga akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salahguna kuasa dalam proses pembelian itu.

Selain itu, SPRM juga akan memanggil beberapa orang saksi penting dalam masa terdekat bertujuan merakam percakapan untuk mendapatkan maklumat serta bukti yang kukuh sebelum tindakan lanjut diambil.

Hotel berkenaan terletak di kawasan Bayswaters, London itu dibeli pada harga RM538 juta oleh FIC.

Pada Mei 2015, siasatan awal SPRM mendapati tiada sebarang salah laku dalam transaksi berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low ketika memberi jawapan kepada Parlimen dipetik berkata, siasatan SPRM tidak menjumpai asas kesalahan mana-mana pihak dalam kes pembelian hotel itu.

Namun, beliau dilaporkan berkata, pihak yang mempunyai maklumat tambahan boleh mengemukakannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

FIC yang ditubuhkan pada 2 Julai 2013 adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan bukan perladangan, sebaliknya menumpukan kepada tiga aspek iaitu hospitaliti, hartanah serta minyak dan gas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 8:55 AM