Anggota penyelamat mengangkat mayat Mohd Hafiz  yang ditemui nelayan selepas terjatuh dari bot ketika memancing pada Sabtu lalu.
Anggota penyelamat mengangkat mayat Mohd Hafiz yang ditemui nelayan selepas terjatuh dari bot ketika memancing pada Sabtu lalu.

Yan: “Sebaik mayat diusung ke atas jeti, saya dibawa untuk membuka plastik hitam itu dan cam ia mayat suami. Alhamdulillah, dia akhirnya ditemui walaupun sudah tidak bernyawa,” kata Ruhaida Idrus,33.

Ruhaida, yang hamil enam bulan anak keempat kelihatan tenang sebaik mayat suaminya, Mohd Hafiz Abu Hassan, 36, ditemui nelayan dan pasukan penyelamat jam 1.45 tengah hari semalam pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di sekitar kawasan Kuala Sala.

Mohd Hafiz dilaporkan terjatuh dari bot ketika menangkap ikan seorang diri pada jarak 12 batu nautika dari Kuala Sala, Sabtu lalu sebelum operasi mencarinya dilakukan bermula jam 5 petang hari sama.

Bagaimanapun, hanya bot mangsa ditemui di lokasi kejadian pada hari pertama SAR, manakala jasadnya ditemui, semalam.

Sebelum ini, Ruhaida berkata, dia reda jika suaminya ditemui dalam apa jua keadaan sekali pun dan akan membesarkan tiga anak mereka, Muhammad Irfan Mohd Hafiz, 9, Muhammad Farhan, 6, dan Muhammad Muhaimin, 4, di rumah mereka di Kampung Seberang, di sini.

Katanya, suaminya memang minat menangkap ikan dan menjadikan ia sebagai sumber rezeki keluarga selepas berhenti kerja di sebuah syarikat racun serangga di sini, Mac lalu.

“Apa yang berlaku hari ini (semalam), saya terima,” katanya ketika ditemui di jeti Kuala Sala, semalam.

Jenazah Mohd Hafiz kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan bagi bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:39 AM