FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nur Syazwana Mansor


LELAKI yang melarikan diri ketika serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, dipercayai lemas selepas terjun di kuala Sungai Sala, Yan, petang hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang dipercayai penagih dadah terjun ke dalam sungai bagi mengelak ditahan polis yang melakukan serbuan ke atas sarang penagihan di kawasan berdekatan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Mazlan Yaakob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.15 petang memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai di kuala Sungai Sala.

Katanya, mangsa berusia 35 tahun dipercayai berasal dari Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala, Yan.

“Seramai empat anggota memulakan operasi pencarian di kawasan kuala Sungai Sala menggunakan bot, namun sehingga 6 petang hari ini, mangsa belum ditemui.

“Kami sudah menghubungi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Sungai Petani bagi mendapatkan bantuan penyelam,” katanya.

Difahamkan, operasi mencari mangsa ditamatkan malam ini dan dijadual bersambung semula pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji ketika dihubungi, mengesahkan operasi narkotik terbabit dijalankan pasukan polis daripada IPD Yan.

Bagaimanapun, kes lemas berkenaan diserahkan kepada IPD Kota Setar yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 11:50 PM