Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap lelaki berusia 50-an berhubung kematian budak lelaki yang mayatnya ditemui berhampiran sebuah bengkel kereta di Kampung Chin Lee, Batu 6, Jalan Kepong, Kuala Lumpur 20 Julai lalu akan diketahui dalam masa seminggu lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Md Isa berkata, lelaki itu mendakwa anaknya berusia lima tahun hilang pada Jun tahun lalu.

Katanya, keputusan DNA itu akan menentukan sama ada kanak-kanak berkenaan adalah anaknya.

"Saksi (lelaki) itu gagal membuat pengecaman kerana keadaan mayat yang ditemui sudah reput dan DNA terpaksa diambil bagi mengenal pasti identiti mangsa.

"Lelaki berkenaan pernah melaporkan kehilangan anaknya dan ada seseorang menghubunginya meminta wang tebusan jika mahu anaknya selamat,"katanya.

Pada 20 Julai lalu, mayat kanak-kanak lelaki yang disumbat dalam plastik hitam itu ditemui dalam keadaan berulat dengan sebelah kakinya terjulur keluar berhampiran sebuah bengkel kereta oleh seorang pekerja premis besi buruk ketika membersihkan longkang di kawasan itu.

Mayat kanak-kanak itu masih lengkap berpakaian selain turut dipakaikan lampin pakai buang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 9:06 PM