Baju-T bergambar kartun panda yang dipakai mangsa.
Baju-T bergambar kartun panda yang dipakai mangsa.
myMetro

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan waris mayat kanak-kanak berbaju-T putih serta berseluar biru separas lutut yang ditemui dibungkus dalam plastik sebelum dibuang di kawasan semak berhampiran bengkel kereta di Kampung Chin Lee, Batu 6, Jalan Kepong di sini, 20 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, baju-T dipakai berlengan pendek dengan gambar kartun panda di depannya selain bahagian kolar serta kedua-dua bahagian lengan berwarna biru.

Menurutnya, keadaan mayat kanak-kanak lelaki itu sukar dicam kerana hampir reput.

“Kami meminta waris atau ibu bapa yang kehilangan anak, memakai pakaian seperti yang dipakai mangsa supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan serta membuat pengecaman,” katanya, semalam.

Sebelum ini, seorang lelaki muncul di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuat pengecaman mayat mangsa.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki Tionghua berusia 50-an

berkenaan diambil untuk menentukan sama ada mangsa adalah anaknya yang didakwa hilang.

Lelaki itu pernah melaporkan kehilangan anaknya yang berusia lima tahun, Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:56 AM