AZIH
AZIH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) belum menerima maklum balas daripada kerajaan mengenai tuntutannya agar menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (MPGK) sejak Disember tahun lalu.

Presidennya Datuk Azih Muda mahu penubuhan MPGK dipercepatkan bagi memudahkan perbincangan di antara Cuepacs dan kerajaan mengenai isu berbangkit berkaitan penjawat awam di seluruh negara.

“Cuepacs tidak menggunakan pendekatan dengan memberi tekanan kepada kerajaan kerana kami (Cuepacs) percaya proses perundingan lebih penting agar ia lebih berjaya dan meyakinkan. Ini kerana dengan menggunakan tekanan, ia tidak akan menguntungkan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata penubuhan MPGK itu juga sebagai laluan kepada kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi penjawat awam di negara ini.

Katanya, beban tugas semakin bertambah, kerja mengikut waktu dan bayaran kerja lebih masa yang hanya dibayar separuh antara masalah yang sering dihadapi penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 5:11 AM