ADNAN Mat. FOTO Arkib NSTP
ADNAN Mat. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa sebarang pekeliling baharu yang bakal dikeluarkan kerajaan adalah berdasarkan rundingan bersama seperti amalan sebelum ini.

Ini kerana hanya dengan rundingan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kesatuan sekerja itu dapat memberikan situasi menang-menang selain mengurangkan tekanan kepada penjawat awam.

Presidennya Adnan Mat berkata, kerajaan juga tidak seharusnya sepanjang masa memberi penekanan kepada penjawat awam dengan pelbagai isu, sebaliknya hendaklah menjadi kerajaan yang sentiasa prihatin kepada penjawat awam dan rakyat.

“Kita dimaklumkan melalui Twitter Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menangguhkan pemansuhan Bayaran Intensif Perkhidmatan Kritikal (BIPK), iaitu isu pekeliling BIPK yang turut dibantah oleh CUEPACS.

“Justeru itu, CUEPACS merakamkan ucapan ribuan terima kasih di atas usaha menteri dan keprihatinan Perdana Menteri dalam penangguhan ini,” katanya di Kuala Lumpur.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemansuhan BIPK bermula 1 Januari depan.

Ia mengundang reaksi pelbagai pihak yang mahu ia dikaji semula.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 9:41 AM