PEGAWAI penyiasat SPRM tiba di Balai Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur bagi mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel empat bintang oleh Felda Investment Corporation di London. FOTO Fariz Iswadi Ismail
PEGAWAI penyiasat SPRM tiba di Balai Felda, Jalan Gurney, Kuala Lumpur bagi mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel empat bintang oleh Felda Investment Corporation di London. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LAPAN pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pejabat Felda Investment Corporation (FIC) di Jalan Gurney, Kuala Lumpur, hari ini bagi menjalankan siasatan berhubung pembelian hotel empat bintang di London antara 2013 dan 2015.

Pegawai berkenaan tiba di perkarangan menara itu pada 10.20 pagi sebelum mereka kelihatan menaiki lif menuju ke tingkat dua pejabat FIC bagi memulakan proses meneliti dokumen berkaitan.

Beberapa pegawai turut dilihat membawa beg dokumen.

Tindakan itu dipercayai susulan maklumat baharu diperoleh dalam siasatan terhadap FELDA.

Pasukan penyiasat berkenaan dipercayai hadir bagi mendapatkan beberapa dokumen dan mengenal pasti saksi atau individu yang boleh dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes itu.

Pada 14 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal hingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 1:17 PM