Adik Zafri Adli tidak lepaskan peluang untuk mencuba Heavy Machine Gun bagi helikopter Super Lynx milik TLDM sewaktu hadiri Mini Karnival ATM sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidil Fitri di Sembrong.
Adik Zafri Adli tidak lepaskan peluang untuk mencuba Heavy Machine Gun bagi helikopter Super Lynx milik TLDM sewaktu hadiri Mini Karnival ATM sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidil Fitri di Sembrong.
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


MAJLIS Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri peringkat nasional 2017 buat julung kalinya diadakan di Sembrong, Johor dengan kelainan dan keunikan tersendiri selama tiga hari bermula kelmarin.

Menteri Pertahanan Merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, buat julung kalinya juga, ia dianjurkan dengan gabungan kerjasama dua kementerian, iaitu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan.

Katanya, segala persiapan dan penganjurannya turut mendapat kerjasama dan bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"MRTM Aidil Fitri tahun ini dianjurkan sebagai satu festival keraian yang disuntik pelbagai pengisian oleh pihak penganjur dan tidak hanya majlis jamuan hari raya seperti penganjuran edisi sebelum ini.

"Malah, pengisian sepanjang tiga hari itu turut menyaksikan pembabitan besar-besaran oleh ATM.

“Bentuk pengisian yang dilaksanakan ATM termasuklah mengadakan Promosi Dan Pameran, Demonstrasi Masakan Di Medan, Projek Jiwa Murni Dan Persembahan Kesenian Dan Kebudayaan,”€ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara aset yang akan dipamerkan ATM adalah, pelancar roket berganda ASTROS II MLRS, kenderaan berperisai Multi-Amfibia GEMPITA 8 X 8, Helikopter pelbagai guna A109 AGUSTA dan Helikopter tempur SUPER LYNX.

Katanya, bagi pengisian Demonstrasi Masakan Di Medan, ia meliputi demonstrasi dapur medan, Meal On Wheel, food truck dan Rangsum Tempur Bekalan Kering (RTBK).

"Bagi pengisian Program Jiwa Murni, ia meliputi pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata dan pemeriksaan pergigian secara percuma kepada pengunjung awam yang hadir. Selain itu, Program Jiwa

Murni ini turut membabitkan program gotong-royong dengan kerjasama antara ATM, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) serta masyarakat setempat yang diadakan pada 13 Julai lalu,”€ katanya.

Hishammuddin berkata, kemuncak kepada semua program dan pengisian selama tiga hari itu ialah Majlis Tanda Pelancaran Bersama yang akan diadakan pada malam esok di Stadium Mini Taman Sri Lambak, Kluang, Johor.

Katanya, majlis itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

RTM akan menyiarkan secara langsung majlis itu di TV2 bermula 9 malam hingga 10.30 malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:24 PM