Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sesuai dengan gelaran Bandar Tentera Darat, Port Dickson gegak gempita dengan dentuman bom dan pesawat tempur sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-89 di Kem Segenting, di sini, hari ini.

Seramai 2,500 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam sambutan bertemakan 'Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin'.

Umpama berada di medan perang, situasi sedemikian membabitkan penyertaan 951 pegawai dan anggota serta disokong 72 aset dan persenjataan membabitkan kenderaan seperti kereta kebal PT91M Pendekar, Lipan Bara, Kenderaan Perisai 8x8 Gempita dan Kenderaan Berperisai Berantai Adnan.

Aksi berkenaan yang dilaksanakan secara fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa kehadiran penonton awam berlangsung hampir satu jam bermula 9 pagi yang disaksikan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

ANGGOTA tentera darat membuat demonstrasi perang sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-89 di Kem Segenting. FOTO Azrul Ehwan Mohd Aminuddin
ANGGOTA tentera darat membuat demonstrasi perang sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-89 di Kem Segenting. FOTO Azrul Ehwan Mohd Aminuddin

Selain itu, acara Perbarisan Tempur diketuai Leftenan Kolonel Din Izuan Mahar Afandi membabitkan lapan detasemen (yang terdiri daripada Detasemen Tempur, 10 Briged (Para), 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Bantuan Tempur dan Kontinjen Wanita.

Ruang udara turut menyaksikan pertunjukan pesawat seperti tiga helikopter LOHA109 Agusta yang membawa bendera ATM, TDM dan Jalur Gemilang.

Zamrose berkata, demonstrasi dinamik dipertontonkan itu adalah manifestasi tentera darat kepada kerajaan dan rakyat apabila mereka sentiasa bersedia pada sebilang masa dan berupaya melaksanakan apa sahaja tugasan serta misi diamanahkan.

Katanya, pelbagai pengalaman pahit maung diraih Tentera Darat sepanjang 89 tahun yang dijadikan pengajaran dan dorongan untuk menjadi sebuah angkatan cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan dan pujian bukan sahaja dari rakyat negara ini, malah masyarakat antarabangsa.

"Sepanjang tempoh kewujudannya, tentera darat sudah menempa kejayaan demi kejayaan antaranya menamatkan pemberontakan komunis, mematahkan konfrantasi oleh negara jiran, memainkan peranan signifikan sebagai pengaman di negara bergolak dan menggagalkan pencerobohan anasir pengganas dari luar negara.

"Selain itu, menjadi peranan utama dalam usaha membantu rakyat terkesan akibat bencana alam termasuk banjir, tanah runtuh, penularan wabak Covid-19 di samping membantu masyarakat awam melalui penganjuran program jiwa murni di seluruh negara sepanjang tahun lalu," katanya.

Zamrose berkata, antara cabaran mungkin dihadapi adalah ketidakstabilan persekitaran geo-politik dunia serta ancaman wabak penyakit berbahaya Covid-19 yang masih belum menampakkan pengakhirannya.

Beliau berkata, walaupun cabaran itu bersifat 'intangible' dan berada di luar daripada kawalan kita, itu tidak bermakna tidak perlu melakukan sebarang persiapan untuk menghadapi cabaran itu.

"Justeru, semua peringkat kepemimpinan perlu sentiasa mempersiapkan anggota masing-masing dengan melaksanakan latihan berkesan, menerapkan kemahiran khusus serta meneguhkan aspek kerohanian dan jati diri sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Hanya dengan persiapan rapi akan membolehkan kita mengatasi setiap cabaran yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 2:35 PM