ANAK-ANAK Rohingya khusyuk mengikuti sesi pembelajaran di REC.
ANAK-ANAK Rohingya khusyuk mengikuti sesi pembelajaran di REC.

Kuala Lumpur: Kewujudan pusat Rohingya Education Centre (REC) di negara ini, memastikan 660 anak pelarian Rohingya mendapat pendidikan sempurna.

Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Ahmad Azam Abd Rahman berkata, pihaknya menawarkan sesi pembelajaran berdasarkan mata pelajaran pendidikan peringkat rendah kebangsaan kepada anak-anak Rohingya berusia lingkungan enam hingga 12 tahun.

“Sistem pendidikan yang digunakan REC memberi fokus kepada sistem sekolah kebangsaan bagi membolehkan murid menyesuaikan diri dengan suasana sekolah yang formal dan teratur.

“Kami menggalakkan mereka (pelarian Rohingya) untuk menghantar anak-anak ke sekolah bagi memberi peluang kanak-kanak malang ini mendapat pendidikan di peringkat sekolah rendah mengikut sistem pembelajaran REC yang mudah difahami,” katanya.

Menurutnya, tiga pusat itu yang dibuka di tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Pahang sejak 2010 berjaya menyelamatkan masa depan ribuan kanak-kanak malang ini.

Ahmad Azam yang juga Pengerusi Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan (FGN) berkata, hanya RM30 sebulan dikenakan terhadap setiap murid sebagai yuran kemasukan bagi menggalakkan lebih ramai komuniti pelarian Rohingnya menghantar anak mereka ke pusat itu.

“Kadar yang dikenakan adalah cukup murah berbanding sekolah swasta lain. Bagi mendaftar masuk REC, mereka perlu memiliki kad pendaftaran Agensi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR). Pengecualian diberikan kepada pelarian yang baru tiba di negara ini atau disahkan ketua masyarakat Rohingya,” katanya.

Katanya, melalui kerjasama UNHCR, projek REC kini lebih maju ke hadapan dalam membantu dan membela nasib anak-anak pelarian Rohingya di negara ini.

Katanya, pendidikan diberikan memastikan kanak-kanak pelarian ini dapat membezakan perkara baik dan buruk termasuk menghindarkan diri dengan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 12:14 PM