Orang ramai mengutip ikan basung yang tercampak. FOTO Recqueal Raimi
Orang ramai mengutip ikan basung yang tercampak. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


ORANG ramai mengutip ikan basung yang tercampak selepas sebuah lori terbabas dan terbalik di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Kaung Lapai, dekat Ranau, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, pemandu lori berusia lingkungan 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengguna jalan raya, Hendry Lawas, 31, berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut melihat sebuah lori membawa muatan ikan terbalik di tepi jalan.

Katanya, muatan mengandungi ikan basung tercampak keluar sehingga ke dalam longkang di tepi jalan.

"Orang ramai yang melalui jalan raya ini dilihat mengutip ikan yang bertaburan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan menyebabkan satu lorong terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

"Tinjauan awal mendapati tidak berlaku kesesakan teruk di lokasi kejadian dan kenderaan masih boleh melalui laluan itu, namun bergerak secara perlahan.

"Lalu lintas di kedua-dua hala dibuka sepenuhnya pada 7.30 pagi selepas lori itu dialihkan dengan menggunakan jentera berat.

"Bagaimanapun, setakat ini, pemandu belum tampil untuk membuat laporan kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 3:56 PM