TANAH runtuh yang menutupi permukaan Jalan Tamparuli-Ranau.
TANAH runtuh yang menutupi permukaan Jalan Tamparuli-Ranau.
Recqueal Raimi


Tuaran: Laluan di kedua-dua arah di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Kelawat, Tamparuli, dekat sini, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh dibuka semula, petang kelmarin.

Ia selepas pihak berkuasa selesai menjalankan kerja pembersihan sisa kayu pokok dan tanah di laluan berkenaan yang mengambil masa dua jam.

Terdahulu, pada kejadian 4.30 petang, hujan lebat menyebabkan berlaku tanah runtuh di laluan itu.

Susulan kejadian, pihak berkuasa hanya membuka satu laluan di lokasi kejadian bagi membolehkan kerja pembersihan sisa kayu dan tanah dilakukan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran Adzizah @ Suzianah Akul berkata, selepas kerja pembersihan selesai, pihaknya turut memasang papan tanda amaran di kawasan itu supaya pemandu lebih berhati-hati.

“Berdasarkan pemerhatian awal, ada tembok batu di kawasan itu bagi menghalang tanah runtuh. Bagaimanapun, hujan berterusan pada hari kejadian, menyebabkan tanah runtuh berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 5:39 AM