Dermaga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang sibuk dengan proses pemindahan barang dan kontena dari kapal dagang yang berlabuh. FOTO arkib NSTP
Dermaga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang sibuk dengan proses pemindahan barang dan kontena dari kapal dagang yang berlabuh. FOTO arkib NSTP
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan mengeluarkan kenyataan penuh berkaitan isu kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit pada minggu depan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, tempoh berkenaan diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

"Saya akan mengeluarkan kenyataan (isu kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan) minggu depan.

"Kami akan keluarkan kenyataan itu kerana pada masa ini kami masih melakukan siasatan mengenainya dan proses siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Subromaniam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Berdasarkan laporan itu, sistem perkakasan barangan terbabit dalam perjalanan transit dari Australia ke Belanda dan ditahan JKDM sementara menunggu dokumen diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Peralatan ketenteraan berteknologi tinggi itu dikatakan tiba ke negara ini pada bulan lalu dalam satu kontena tetapi semakan audit dijalankan mendapati peralatan itu tidak berada di pelabuhan itu.

Kehilangan perkakasan ketenteraan yang perlu mendapat kelulusan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 disahkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad.

Beliau ketika dihubungi pagi ini turut mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan sistem itu pada 13 Jun lalu daripada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 12:53 PM