Siti A'isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar pasukan penyiasat bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan kehilangan kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi dari Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor sebelum tindakan lanjut diambil.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh SPRM, pihaknya menerima aduan berhubung isu itu dan pasukan penyiasat akan menilai maklumat yang diperolehi untuk mengenal pasti sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

"SPRM akan mengambil keterangan daripada beberapa orang pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membantu siasatan.

"Pada masa sama, SPRM juga akan bekerjasama dengan pihak polis yang turut menjalankan siasatan ke atas dakwaan kehilangan peralatan radar tentera berteknologi tinggi berkenaan," kata kenyataan itu di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, siasatan SPRM hanya akan tertumpu kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa serta tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.

Pada 29 Jun lalu, akhbar berbahasa Inggeris melaporkan mengenai kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Berdasarkan laporan itu, sistem perkakasan barangan berkenaan dalam perjalanan transit dari Australia ke Belanda dan ditahan JKDM sementara menunggu dokumen diperlukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Susulan itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk T Subromaniam dipetik berkata, JKDM mengesahkan peralatan radar tentera berteknologi tinggi yang sebelum ini dilaporkan hilang sebenarnya sudah tiba ke destinasi dituju iaitu di Pelabuhan Rotterdam, Belanda.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan dijalankan sebenarnya menjurus kepada pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dalaman ketika melepaskan dagangan yang memerlukan permit di bawah Akta Perdagangan Strategik (STA) 2010.

Berita berkaitan:

LPJ pula tampil beri penjelasan

Radar 'hilang' dah sampai Belanda rupanya

Boleh jejas reputasi PTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 2:56 PM