Izlaily Nurul Ain Hussein


KERAJAAN Johor berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dengan terperinci kejadian peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit yang didakwa hilang di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bagi mengelakkan reputasi pelabuhan itu terjejas.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, siasatan perlu dibuat bagi mengenal pasti sama ada ia kerja terancang atau kecuaian pihak tertentu.

“Perkara ini boleh menjejaskan reputasi pelabuhan kita kerana di Johor, kita mempunyai tiga pelabuhan yang menyumbang dalam usaha untuk menjadi pusat logistik serantau," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Permas di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mengenai kehilangan sistem peralatan radar ketenteraan bernilai jutaan ringgit di PTP.

Mohamed Khaled berkata, kehilangan itu jika disebabkan kekurangan atau kelemahan di pelabuhan boleh membawa kesan tidak baik kepada negeri ini.

"Saya harap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini secara mendalam.

"Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan pihak berkuasa perlu menyiasat serta maklumkan apa yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 2:19 PM