MUHAMMAD Amin membacakan khutbah ketika solat sunat Aidilfitri. Gambar kecil, Noorazmi (kanan) bersama Muhammad Amin.
MUHAMMAD Amin membacakan khutbah ketika solat sunat Aidilfitri. Gambar kecil, Noorazmi (kanan) bersama Muhammad Amin.
myMetro

Baling: “Arwah sempat bergurau khutbah solat Aidilfitri tahun ini yang terakhir. Tahun depan orang lain membacanya pula.”

Begitu kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bongor Baru Noorazmi Ramli, 43, ketika menceritakan kesedihan berikutan kehilangan imam muda kampung itu Muhammad Amin Abdul Wahab, 22, yang maut akibat terbabit dalam kemalangan di Jalan Baling-Weng berdekatan Kampung Jenalik Bawah Gunung, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa dari Kampung Banggol Derum, Bongor maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Noorazmi berkata, dia dan ahli kariah Surau An-Nur amat terasa kehilangan arwah yang dianggap idola golongan muda di kampung itu.

“Sejak minggu ini arwah tiba-tiba menjadi pendiam. Tak sangka gurauannya mengenai khutbah (Aidilfitri) terakhir itu petanda dia pergi untuk selamanya.

“Sebelum ini dia (arwah) mengimarahkan surau dan disukai pemuda dan penduduk kampung kerana sifatnya yang baik,” katanya.

Katanya, arwah juga mengimamkan solat sunat Tarawih serta membaca khutbah solat sunat Aidilfitri di surau itu sejak tiga tahun lalu.

“Arwah mempunyai akhlak yang tinggi dan mengajak anak muda mengimarahkan surau setiap masa, malah setiap kali balik bercuti arwah selalu memberi tazkirah kepada anak kariah selepas solat Maghrib,” katanya.

Katanya, arwah anak bongsu daripada dua beradik belajar di tahun tiga dalam jurusan Syariah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), sekali gus menjadi harapan keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai menunggang motosikal Honda Wave untuk ke pekan Baling.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan menyebabkannya terjatuh sebelum kenderaan dari arah bertentangan merempuhnya.

“Mangsa parah di muka dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan punca kemalangan dilakukan.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 10:19 AM