ABDUL Halim. FOTO Amir Mamat
ABDUL Halim. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

KERAJAAN negeri menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka hanya membenarkan solat Jumaat didirikan di masjid bermula 29 Mei ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kebenaran itu tertakluk kepada kepatuhan syarat ditetapkan iaitu hanya 40 jemaah termasuk khatib, imam, bilal serta pegawai masjid yang dibenarkan menunaikan solat itu pada satu-satu masa.

Beliau berkata, keputusan turut terpakai bagi pelaksanaan solat sunat Aidilfitri itu dibuat selepas mengambil kira keadaan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

"Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan 'syiar Jumaat' di negeri ini akan dihidupkan semula pada 29 Mei ini dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang perlu dipatuhi.

"Antara kaedah pelaksanaan ditetapkan termasuk membuat sistem penggiliran di setiap kariah dan jawatankuasa masjid akan membuat jemputan khas kepada 40 jemaah yang layak untuk menghadiri solat Jumaat berkenaan.

"Bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada ahli kariah berusia 15 hingga 65 tahun yang akan direkodkan kehadiran selain menjalani ibadah dengan mengekalkan konsep penjarakan sosial," katanya pada sidang media di pejabatnya, di Pusat Islam Melaka, hari ini.

Hari ini, kerajaan membenarkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di Wilayah Persekutuan berstatus zon hijau menunaikan solat Jumaat, berjemaah, tarawih dan Aidilfitri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Abdul Halim berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri turut mengambil keputusan menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di setiap masjid sepanjang pelaksanaan ibadah itu berlangsung bagi tujuan pemantauan keselamatan dan penjarakan sosial jemaah.

Beliau berkata, bagi solat sunat Aidilfitri, umat Islam di Melaka dinasihatkan menjalankannya di kediaman masing-masing dengan diimamkan ketua keluarga dan ia boleh dilakukan dengan khutbah atau tidak, mengikut kemampuan serta kesesuaian ahli keluarga.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 8:33 PM