ABDUL Halim melihat anak bulan pada Program Pencerapan Anak Bulan Syawal di Kompleks Falak Al Khawarizmi Tanjung Bidara, Masjid Tanah, hari ini. FOTO Nuraliawati Sabri.
ABDUL Halim melihat anak bulan pada Program Pencerapan Anak Bulan Syawal di Kompleks Falak Al Khawarizmi Tanjung Bidara, Masjid Tanah, hari ini. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Alor Gajah: Solat sunat Aidilfitri dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau di Melaka mengikut kapasiti ruang institusi berkenaan.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, bagaimanapun jemaah dilarang merentas ke kariah lain bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri pada Khamis ini.

"Jika masjid atau surau di kawasan kariah itu sudah mencapai kapasiti penuh, ahli kariah terbabit dilarang merentas ke kariah lain.

"Kami menasihatkan tidak ada yang curi-curi dari kampung sebelah pergi ke kampung sebelah, ini (masjid/ surau) adalah khusus untuk komuniti setempat," katanya selepas Program Pencerapan Anak Bulan Syawal di Kompleks Falak Al Khawarizmi, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, khemah atau ruang tambahan tidak dibenarkan di setiap masjid atau surau bagi menampung kapasiti jemaah.

Menurutnya, kebenaran itu dipersetujui dalam mesyuarat diadakan di antara Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) hari ini.

"Setiap jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan antaranya solat dalam jarak 1.5 meter antara satu sama lain, membawa sejadah sendiri serta mendaftar MySejahtera.

"Selain tidak membenarkan jamuan, warga asing tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di surau atau masjid.

"MAIM turut mengehadkan takbir Aidilfitri sehingga 10.30 malam pada hari terakhir Ramadan di semua surau dan masjid seluruh Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:33 PM