PENUMPANG beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan imigresen di KLIA, semalam.
PENUMPANG beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan imigresen di KLIA, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi


Sepang: Kaunter daftar masuk di balai berlepas antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sesak berikutan jumlah penumpang yang meningkat semalam.

Difahamka, kesesakan itu berlaku pada waktu pagi dan gambar kejadian berkenaan menjadi tular dalam aplikasi WhatsApp.

Pada gambar itu, kelihatan penumpang beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

Sumber daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan kejadian dan memaklumkan, pihaknya sudah menjangka kesesakan akan berlaku.

“Kami menjangkakan jumlah penumpang bertambah sempena Aidilfitri kerana mereka mahu balik kampung dan kami sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak imigresen.

“Susulan itu, semua kaunter di bahagian pelepasan beroperasi sepenuhnya bagi menghadapi situasi berkenaan,” katanya.

Menurut sumber itu, MAHB juga meningkatkan jumlah kakitangannya yang bertugas bagi menguruskan kehadiran penumpang di KLIA sempena cuti perayaan ini.

“Malah, kami sudah memaklumkan penumpang supaya datang awal sekurang-kurangnya tiga jam sebelum berlepas bagi membolehkan urusan pendaftaran masuk dan bagasi serta pemeriksaan keselamatan dibuat supaya tidak terlepas penerbangan,” katanya.

Tinjauan Metro Ahad di KLIA jam 12 tengah hari mendapati keadaan mula normal seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 6:22 AM