PEROLEHAN MAHB naik kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.15 bilion tahun lalu.
PEROLEHAN MAHB naik kepada RM1.26 bilion berbanding RM1.15 bilion tahun lalu.
Nabil Basaruddin


KEUNTUNGAN bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 85.88 peratus kepada RM160.08 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2019 daripada RM86.12 juta dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

MAHB dalam kenyataannya berkata, perolehan naik kepada RM1.26 bilion daripada RM1.15 bilion sebelum ini yang mana prestasi itu disumbangkan oleh pertumbuhan penumpang yang lebih tinggi.

Rangkaian lapangan terbang kumpulan itu, termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA) di Turki, mengendalikan sebanyak 67.8 juta penumpang dalam tempoh enam bulan pertama 2019 dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.3 peratus.

“Pertumbuhan trafik didorong permintaan tinggi sektor domestik ketika cuti sambutan Aidilfitri dan musim panas.

“Selain itu, perkembangan prestasi ini juga disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan,” katanya.

Dalam pada itu, trafik untuk ISGIA pula didorong oleh sektor antarabangsa berikutan sebahagian daripada syarikat penerbangan utama memindahkan operasi tertentu daripada domestik kepada sektor antarabangsa.

“Oleh itu, ISGIA dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2019 terutamanya bagi trafik penumpang antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, MAHB juga menekankan kerjasamanya dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan Pihak Berkuasa Imigresen Arab Saudi untuk memudahkan pergerakan dan proses imigresen untuk jemaah haji Malaysia.

“Antaranya melalui penggunaan pengenalan automatik, teknologi penangkapan data rapid dan teknologi relay untuk pelepasan imigresen.

“Inisiatif berkenaan membolehkan jemaah haji tiba di Mekah dan Madinah dengan melangkau kelewatan masa dan cabaran pentadbiran sebelum ini,” katanya.

Pada musim haji tahun ini, Malaysia dan Arab Saudi bekerjasama mengendalikan hampir 30,000 penumpang pergi dan dari Mekah dan Madinah.

“Dengan teknologi diperkenalkan dalam usaha kerjasama itu, masa menunggu jemaah haji di destinasi serta seterusnya, berkurangan dengan ketara sehingga 60 peratus, manakala penghantaran data kekal selamat dan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 7:30 AM