Gambar yang tukar dalam WhatsApp berkaitan KAUNTER daftar masuk di balai berlepas antarabangsa KLIA, Sepang sesak berikutan jumlah penumpang meningkat sempena Aidilfitri.
Gambar yang tukar dalam WhatsApp berkaitan KAUNTER daftar masuk di balai berlepas antarabangsa KLIA, Sepang sesak berikutan jumlah penumpang meningkat sempena Aidilfitri.
Siti A'isyah Sukaimi


KAUNTER daftar masuk di balai berlepas antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sesak berikutan jumlah penumpang meningkat sempena Aidilfitri.

Difahamkan, kesesakan itu berlaku pada waktu pagi hari ini dan gambar kejadian itu menjadi tular dalam aplikasi WhatsApp.

Pada gambar berkenaan, kelihatan penumpang beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan imigresen.

Dalam pada itu, sumber daripada Malaysia Airports Holdings Berhad ketika dihubungi berkata kesesakan itu sudahh dijangka.

"Kami menjangkakan jumlah penumpang akan bertambah sempena Aidilfitri memandangkan mereka mahu balik kampung dan kami sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak Imigresen.

"Susulan itu, semua kaunter di bahagian pelepasan juga beroperasi sepenuhnya bagi menghadapi situasi berkenaan," katanya hari ini.

Dalam pada itu, sumber berkata, MAHB juga meningkatkan jumlah kakitangannya yang bertugas bagi menguruskan kehadiran penumpang di KLIA sempena cuti perayaan ini.

"Malah, kita sudah memaklumkan penumpang supaya datang awal sekurang-kurangnya tiga jam sebelum berlepas bagi membolehkan urusan pendaftaran masuk dan bagasi serta pemeriksaan keselamatan dibuat sekali gus tidak terlepas penerbangan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di KLIA jam 12 tengah hari mendapati, keadaan seperti biasa dan tiada kesesakan berlaku kerana situasi berkenaan kembali normal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 3:05 PM