Mohd Amin Jalil

Seremban: Pegawai Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan cuba meminta rasuah berhubung kerja pembekalan cenderahati bagi Program Bantuan Hari Raya dan menyalahgunakan wang MAINS, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hasbollah Ahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh menggunakan jawatannya sebagai Pegawai Baitulmal di daerah Kuala Pilah untuk mendapatkan suapan iaitu dengan mengesahkan permohonan sebuah syarikat melaksanakan kerja pembekalan cenderahati.

Tindakan itu didakwa dilakukan bagi Program Bantuan Hari Raya yang diberikan kepada asnaf fakir miskin di sekitar Kuala Pilah.

Perbuatan itu dilakukan pada 5 Jun 2017 di Pejabat Baitulmal Daerah Kuala Pilah.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

MOHD Hasbollah (tengah) dibawa Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan cuba meminta rasuah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MOHD Hasbollah (tengah) dibawa Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan cuba meminta rasuah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan wang berjumlah RM4,178 kepunyaan MAINS.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat serta boleh juga didenda.

Madihah menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh juga perlu melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di Pejabat SPRM berhampiran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 24 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:31 PM