BUAYA yang diselamatkan akan diserah kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut. FOTO ihsan Bomba
BUAYA yang diselamatkan akan diserah kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan buaya itu. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan buaya itu. FOTO ihsan Bomba
Iskandar Shah Mohamed


BOMBA menyelamatkan buaya seberat satu tan yang terperangkap di kunci air stesen janaelektrik Kampung Tok Muda, Klang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, 11.45 malam tadi.

"Sepasukan 14 pegawai dan anggota bersama dua jentera bomba pada awalnya bagaimanapun tidak menemui buaya itu sebelum menjalankan pemantauan lanjut kira-kira 5 pagi tadi.

"Pemeriksaan kemudian mendapati haiwan itu terperangkap di kawasan kunci air terbabit dan segera menjalankan operasi menyelamat," katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau, pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan buaya itu berikutan lokasi sempit dan saiz reptilia berkenaan yang besar.

"Namun, kita berjaya menyelamatkan haiwan itu dengan menggunakan peralatan khas dan operasi tamat sepenuhnya pada 10 pagi ini," katanya.

Kata Zaidi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan buaya itu akan diserah kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2017 @ 12:13 PM