MANGSA.
MANGSA.
Nur Izzati Mohamad


LELAKI warga emas melecur hampir 70 peratus selepas rumah kedai dua tingkat yang didiaminya dekat Jalan Arumugan Pillai, di Bukit Mertajam, terbakar malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.56 malam.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dengan bantuan BBP Perai serta Penanti bergegas ke lokasi kejadian untuk proses menyelamat dan memadam kebakaran.

"Ketika tiba didapati seorang lelaki warga tempatan dikenali Chan Kim Weng berusia 61 tahun terperangkap dalam rumah kedai berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, usaha mengeluar dan menyelamatkan mangsa dari bangunan berkenaan kemudian dilakukan.

"Mangsa mengalami lecur hampir 70 peratus pada anggota badannya dan dia dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut.

"Anggota bomba kemudian melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 8:18 AM