KEADAAN rumah yang musnah terbakar. FOTO Faliq Lajim
KEADAAN rumah yang musnah terbakar. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


ENAM keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila deretan enam rumah mereka yang berusia lebih 100 tahun musnah dalam kebakaran di Jalan Kepayang, Klang, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Atan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.29 pagi.

"Sepasukan 28 pegawai dan anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba Sungai Pinang, Kota Raja, Pelabuhan Klang dan Kapar dikerah dalam operasi memadamkan kebakaran.

"Setibanya di tempat kejadian, api didapati sedang marak memusahkan deretan rumah berstruktir kayu yang berusia lebih daripada 100 tahun," katanya.

Menurut beliau, kebakaran itu dikawal pihaknya pada 8.56 pagi.

"Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Kata Zaidi, punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Tinjauan Harian Metro mendapati enam keluarga itu ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Taman Berkeley, Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 8:08 PM