SEBAHAGIAN pemenang anugerah medan selera bersih di Wisma Negeri.
SEBAHAGIAN pemenang anugerah medan selera bersih di Wisma Negeri.

Seremban: Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) akan mempertingkatkan operasi pembersihan di bazar, premis makanan dan hotel yang menyediakan bufet sepanjang Ramadan ini.

Pengarahnya, Dr Zainudin Mohd Ali berkata, operasi itu akan memberi penekanan kepada pematuhan pengendali makanan terhadap peraturan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

Menurutnya, ia termasuk pengendali sudah mengikuti Latihan Pengendali Makanan (LPM), membuat suntikan anti tifoid dan aspek kebersihan diri bagi memastikan makanan disediakan selamat dimakan.

“Pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

“Justeru, peniaga khususnya di bazar Ramadan diingatkan sentiasa memastikan kebersihan diberikan keutamaan,” katanya.

Berdasarkan statistik, katanya, sebanyak 66 premis daripada 387 premis yang diperiksa di seluruh negeri ini pada Januari hingga April lalu, didapati kotor.

Justeru, Dr Zainuddin berkata, pihaknya menyediakan anugerah medan selera bersih, sihat dan selamat sebagai galakan pengusaha dan pemilik premis mengekalkan kebersihan.

“Kita berharap menerusi penganjuran anugerah itu mendorong pengusaha mengutamakan premis yang bersih dan makanan sihat serta selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 1:14 PM