Ahmad Zakiyuddin mengadakan lawatan bersama JKNPP ke bazar Ramadan Bertam Putra. FOTO Nur Izzati Mohamad
Ahmad Zakiyuddin mengadakan lawatan bersama JKNPP ke bazar Ramadan Bertam Putra. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


PENIAGA bazar Ramadan yang menggunakan telefon bimbit, memakai jam tangan dan perhiasan diri ketika mengendalikan makanan boleh dikenakan denda.

Ia berikutan mereka gagal mematuhi peraturan dengan mementingkan aspek pemakaian dan penjagaan kebersihan yang ditetapkan.

Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ku Nafisah Ku Ariffin berkata, 128 notis membabitkan nilai kompaun RM18,200 tahun lalu dikeluarkan kepada peniaga tapak bazar Ramadan kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan peniaga terbabit antaranya berkaitan kebersihan premis, pekerja tidak mendapat suntikan anti tifoid dan masalah pakaian pengendali makanan.

“Kita menitikberatkan aspek pemakaian bagi memastikan pengguna mendapat makanan berkualiti serta bersih dan berharap tahun ini peniaga di seluruh bazar dapat mematuhinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Tapak Bazar Ramadan Bertam Putra bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Kepala Batas semalam.

Dalam lawatan itu, JKNPP turut menyampaikan topi dan apron kepada peniaga di bazar berkenaan.

Ku Nafisah berkata, 52 penganjur bazar Ramadan di negeri itu sudah mengikuti taklimat berhubung pengendalian makanan dan penjagaan kebersihan.

“Oleh itu, kita berharap mereka dapat menyampaikan apa yang dipelajari dalam taklimat berkenaan kepada peniaga lain di kawasan masing-masing supaya dapat mematuhi peraturan.

“Apa yang kita dapati peniaga yang melakukan kesalahan ini bukan tidak ada kesedaran namun berdepan masalah sikap untuk mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, beliau mahu setiap peniaga mengikut syarat dalam mengendalikan makanan kerana ia penting supaya pengguna mendapat sumber yang bersih dan sihat untuk dimakan.

“Kita tahu makanan yang dijual mereka itu nampak bersih namun kerana tidak mengikut apa yang ditetapkan sebagai contoh menyentuh makanan dengan tangan menyebabkan ia dicemari.

“Oleh itu, penting bagi setiap peniaga memahami peraturan mengendali makanan ini bagi mengelak kejadian tidak diingini sekali gus tidak dikenakan kompaun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:45 PM