Ahmad Faizal (dua dari kiri) memeriksa juadah makanan peniaga selepas melancarkan Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan di Bazar Ramadan Tapah. Foto Abdullah Yusof
Ahmad Faizal (dua dari kiri) memeriksa juadah makanan peniaga selepas melancarkan Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan di Bazar Ramadan Tapah. Foto Abdullah Yusof
Balqis Jazimah Zahari


KERAJAAN negeri menyeru pengendali makanan di bazar Ramadan seluruh Perak mematuhi aspek keselamatan bagi mengelak kejadian keracunan makanan sehingga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Jabatan Kesihatan Negeri dan kerajaan negeri akan melaksanakan sesi menandatangani akujanji keselamatan makanan oleh pengendali makanan bazar berkenaan.

Menurutnya, untuk permulaan kira-kira 100 pengendali bazar Ramadan di Batang Padang akan menandatangani akujanji itu sebelum diperluaskan ke seluruh bazar Ramadan di negeri itu.

“Pengendali makanan perlu mengamalkan kebersihan diri dan sentiasa memastikan premis makanan berada dalam keadaan bersih serta menjual makanan bersih, selamat kepada orang awam selain mematuhi segala keperluan perundangan dan peraturan.

“Jadi, saya menyeru kepada semua peniaga di bazar Ramadan untuk benar-benar mengikuti apa yang kita janjikan melalui kempen (akujanji) yang akan dibuat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Operasi Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Peringkat Negeri di Dewan Merdeka Tapah, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming.

Ahmad Faizal berkata, operasi bazar yang dilancarkan hari ini juga satu perkara penting kerana tidak mahu kejadian keracunan makanan berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Begitu juga dengan pengguna, saya syorkan agar mereka berhati-hati apabila membeli di bazar Ramadan dan memastikan mereka juga membantu Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memantau peniaga ini memastikan harga dan juga kebersihan makanan ini terjaga,” katanya yang kemudian turut melawat Bazar Ramadan Tapah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 9:11 PM