Putrajaya: Setakat ini, bilangan kes demam kepialu (tifoid) di Kuala Lumpur dan Selangor menunjukkan peningkatan menjadikan keseluruhan kes melonjak kepada 52 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak tiga kes baru dikesan di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor. Sehingga kini Kuala Lumpur merekodkan 37 kes dan Selangor (15 kes).

Beliau berkata sembilan kes masih dirawat di beberapa hospital iaitu lima kes di Kuala Lumpur, Selangor (dua kes), Kelantan (satu kes) dan Kedah (satu kes).

“Selain itu, 304 premis makanan diperiksa dan 31 premis ditutup sejak pemeriksaan dilakukan bermula akhir Ogos lalu selepas didapati tidak bersih.

“Manakala 16 notis kompaun di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan kepada pemilik premis makanan. Seramai 1,394 pengendali makanan diperiksa dan diambil sampel klinikal,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, sehingga kini, tiada kes demam kepialu dilaporkan dari negeri lain namun, pemantauan masih diteruskan.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya menegaskan supaya semua pengendali makanan mendapatkan suntikan vaksin tifoid dan menjalani Latihan Pengendali Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, suntikan dan Latihan Pengendali Makanan adalah satu keperluan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Pengusaha premis makanan yang gagal memastikan pengendali makanan yang bekerja di premisnya mendapat suntikan vaksin tifoid boleh dikompaun di bawah Akta Makanan 1983.

“Pengendali makanan juga diingatkan sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik termasuk mencuci tangan dengan betul serta pengendalian makanan secara selamat dan bersih,” katanya.

Katanya, Kementerian Kesihatan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap kebersihan premis makanan bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan mengutamakan makanan yang panas dan baru dimasak.

Maklumat berkaitan demam kepialu serta langkah pencegahannya boleh diperoleh dari laman sesawang myHealth.gov.my dan www.infosihat.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 8:51 AM