KEADAAN sebuah premis di Jalan Salleh yang diarahkan tutup kerana kotor. FOTO Alias Abd Rani.
KEADAAN sebuah premis di Jalan Salleh yang diarahkan tutup kerana kotor. FOTO Alias Abd Rani.
Alias Abd Rani


Muar: Menjijikkan apabila najis katak dan tahi cicak berdekatan rak penyediaan makanan.

Itu yang dilihat sepanjang Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di sebuah kedai tomyam, Jalan Salleh, di sini, semalam.

Kedai itu dilaporkan kerap menjadi tumpuan pengunjung terutama waktu malam, antara enam premis yang diarahkan tutup serta-merta selepas didapati mengabaikan tahap kebersihan.

Pegawai Kesihatan Daerah Muar, Dr Mohd Ridzuan Mohd Lutpi, berkata ketika operasi dijalankan, pihaknya menemui najis terbabit bawah lantai rak simpanan barang berdekatan dapur.

Beliau berkata, manakala najis cicak pula ditemui bawah bawah rak penyediaan makanan dan peralatan digunakan untuk memasak.

"Dalam operasi disertai 70 anggota daripada Pejabat Kesihatan Daerah seluruh negeri memeriksa 84 premis namun enam daripadanya diarahkan tutup kerana didapati tidak suci dan kotor mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

"Sebanyak 83 Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dikeluarkan atas sebab pelbagai kesalahan antaranya tidak mematuhi kehendak penyimpanan makanan, abaikan kebersihan dan juga tidak mematuhi kehendak pakaian pengendali makanan.

"Selain itu, sebanyak lima Notis 32B, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok, gagal memastikan tiada individu merokok, dan merokok di kawasan larangan," katanya.

Katanya lagi, operasi ini bertujuan memastikan tahap kebersihan premis, pengendali dan penyediaan makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk dimakan.

Jelasnya, keseluruhan notis 32B yang dikeluarkan sepanjang operasi itu adalah sebanyak 92 notis dengan nilai keseluruhan tawaran kompaun RM35,800.

"Operasi ini akan dijalankan berterusan dan Pejabat Kesihatan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat kesalahan dilakukan melanggar Undang-undang Kesihatan Awam." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 12:40 PM