NIK Razali  (dua dari kiri) dan Asmah berkomunikasi dengan anak mereka, Nik Nor Aliyah, semalam.
NIK Razali (dua dari kiri) dan Asmah berkomunikasi dengan anak mereka, Nik Nor Aliyah, semalam.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: “Saya tidak tahu apa-apa kerana belum dapat sebarang pulangan hasil pelaburan sebanyak RM480 pada Februari lalu bersama isteri,” kata seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bisu, Nik Razali Mohamad, 50.

Bapa kepada lima anak berusia antara tiga hingga 20 tahun itu berkata, dia hanya mengenali ‘permainan wang’ terbesar iaitu JJ Poor to Rich (JJPTR) menerusi isterinya, Asmah Abd Rahman, 45, yang juga OKU bisu.

“Isteri kenal seorang wanita menerusi laman Facebook beberapa bulan lalu sebelum mengajak saya melabur selepas ditawarkan pelaburan yang akan memberi kesenangan buat kami sekeluarga.

“Wanita terbabit hanya memberitahu kami untuk membuka sebuah akaun bank dan akan bantu untuk semua itu,” katanya menerusi penterjemahan bahasa isyarat oleh anaknya, Nik Nor Aliyah, 12, semalam.

Nik Razali yang juga pekerja kilang antara 100 OKU dari Segambut, Kepong dan Brickfields yang mendapat kembali wang pelaburan penuh daripada skim JJPTR dengan bantuan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN).

Dalam skim itu, kebanyakan OKU terbabit difahamkan melabur antara RM110 (AS$25) hingga RM4,400 (AS$1,000) dan wang mereka dikembalikan selepas pengendali skim kontroversi itu, Johnson Lee mendakwa akaun syarikat digodam.

Menurut Nik Razali, dia bernasib baik kerana pengasas JJPTR bersetuju mengembalikan wang mereka.

“Syukur kerana penyertaan dalam pelaburan ini belum panjang dan tiada tambahan dalam wang pelaburan.

“Saya tidak tahu apa nasib kami jika ia diteruskan kerana ada rakan lain yang sertai skim ini terlebih dahulu memberitahu mereka sudah dua bulan tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan,” katanya.

OKU berkerusi roda, Lee Tuin, 23, berkata, dia hanya mendapat sekali saja dividen 20 peratus yang dijanjikan daripada pelaburan sebanyak RM1,880 sejak awal tahun ini.

“Saya hanya dapat sebulan dan beberapa bulan selepas itu, saya tidak mendapat apa-apa pulangan.

“Memang tidak dinafikan, saya sedih dengan semua ini dan agak menyesal tetapi dalam masa sama bersyukur kerana wang pelaburan dikembalikan,” katanya yang berasal dari Kelubit, Sabah.

Sementara itu, wakil GERAKAN Andy Yong berkata, pihaknya bersyukur kerana JJPTR mengembalikan wang pelabur OKU menerusi kehadiran Johnson di Pusat Rukun Tetangga Kampung Kasipillay, di sini.

“Kamibersedia membantu golongan OKU yang hampir ditipu menerusi skim pelaburan itu selepas mereka meminta bantuan, minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:28 AM