PELAJAR OKU  menyediakan makanan  di Kafe Inspired Kitchen.
PELAJAR OKU menyediakan makanan di Kafe Inspired Kitchen.
Garret Dawum


Putrajaya: Gaji yang diperoleh hasil bekerja di Kafe Inspired Kitchen di bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, tidak pernah disangka dapat membantunya membeli kereta selepas hanya dua bulan bekerja.

Muhammad Firdaus Zed Roslan, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berkata, bekerja di kafe kendalian Kolej Komuniti Selayang itu banyak memberinya peluang mengenali dan berjumpa orang ramai.

“Selepas tamat belajar di kolej itu, saya terus bekerja di sini. Saya adalah ahli kumpulan pertama yang menguruskan kafe ini sejak dibuka empat bulan lalu.

“Saya sangat sayangkan kerja ini. Inspired Kitchen sudah menjadikan orang seperti saya sangat istimewa dan membuktikan OKU seperti saya mampu menguruskan kafe,” katanya.

Katanya, kekurangan yang ada pada diri tidak pernah menjadi penghalang untuk bekerja, malah, sangat teruja dan seronok bekerja di situ.

“Saya juga mahu membuktikan pada orang lain bahawa OKU seperti saya mampu berjaya khususnya dalam bidang keusahawanan.

“Peluang yang diberikan ini akan diguna sebaik mungkin untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang usahawan,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Inspired Kitchen yang menjadi kafe hipster adalah projek keusahawanan yang dijalankan Kolej Komuniti Selayang untuk penuntut OKU terdiri mereka yang mengalami masalah pembelajaran, autisme, pekak dan bisu.

Kafe itu menyediakan pelbagai menu seperti lasagna, burger, sandwich dan bread butter pudding dibuka Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, penuntut OKU pekak dan bisu kolej itu, Uthman Salam Shah Huddin, 19, berkata, dia mengambil peluang menimba pengalaman dan pendedahan dengan mengendalikan kafe hipster itu kerana mahu menguji kemampuan serta keupayaan seperti orang normal.

“Walaupun hanya mengukir senyuman dan menggunakan bahasa isyarat bagi mengucapkan terima kasih atau mengambil pesanan pelanggan, semua itu sebenarnya menguji kemahiran komunikasi saya agar dapat berhubung dengan orang lain.

“Sekarang saya masih belajar dan berada di semester tiga, tetapi pensyarah sudah memberi peluang untuk saya mencuba
ke alam pekerjaan,” katanya menggunakan bahasa isyarat kepada wartawan dengan bantuan terjemahan pensyarahnya Fazlilawati Fadzil.

Fazlilawati yang mengajar kulinari berkata, konsep keusahawanan di kolej itu bermula dengan jualan makanan di sekitar kolej sejak 2007 dengan nama Dapurku Ilhamku.

“Pada masa itu, kami tidak mempunyai ruang berniaga dan pelajar hanya menjual makanan yang dimasak di sekitar kolej. Kami bernasib baik kerana kementerian memberi ruang berniaga kepada pihak kolej.

“Buat masa ini, kami tidak mampu memenuhi semua itu kerana ruangan kafe adalah terhad dan tidak boleh memasak. Semua penyediaan makanan dilakukan di kolej dan hanya minuman dibancuh di sini,” katanya sambil memberitahu Inspired Kitchen kini beroperasi dengan lima tenaga kerja dan permintaan pelanggan semakin meningkat yang mahukan menu baru.

Jelas Fazlilawati, walaupun mengalami kekurangan, pihak kolej tidak pernah mengamalkan pilih kasih terhadap pelajar atau alumni yang bekerja di Inspired Kitchen, malah, mereka turut diberi layanan yang sama dengan kakitangan normal selain turut diberi peluang mengembangkan kerjaya termasuk menikmati skim gaji yang ditetapkan.

Pengarah Kolej Komuniti Selayang Abdul Razak Sabtu berkata, pendedahan untuk perniagaan adalah platform terbaik bagi pelajar khususnya pelajar OKU mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.

“Malah, ia juga mendidik pelajar untuk membina keyakinan diri dan membuang sifat pemalu serta rendah diri. Pada tahun lalu, 100 peratus pelajar OKU di kolej ini mendapat pekerjaan di kafe, hotel, kilang dan restoran makanan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 7:56 AM