Kuala Lumpur: Teruja mendapat untung berlipat kali ganda menyebabkan seorang penjawat awam kerugian hampir RM10,000 selepas diperdaya skim pelaburan bergerak aktif melalui aplikasi WhatsApp.

Sindiket terbabit menjanjikan pulangan keuntungan lebih tujuh kali ganda bagi setiap pelaburan yang dilakukan mangsa.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Jalil, 35, berkata, dia mengetahui berhubung pelaburan itu selepas menyertai satu kumpulan WhatsApp yang turut dianggotai salah seorang ahli keluarganya.

Menurutnya, salah seorang ahli kumpulan itu yang mendakwa ejen pelaburan menawarkan pelaburan serendah RM500 dengan pulangan sehingga RM2,000 dalam tempoh dua bulan.

“Saya tertarik dan percaya terhadap penerangan diberikannya melalui aplikasi WhatsApp berhubung keberkesanan pelaburan itu.

“Susulan itu saya membuat pelaburan dengan memasukkan wang ke dalam akaun ejen berkenaan pada sekitar bulan Oktober tahun lalu,” katanya.

Dia berkata, lelaki terbabit bagaimanapun menawarkan satu lagi skim pelaburan yang didakwa lebih menguntungkan kepadanya.

“Malah ejen itu bijak meyakinkan saya untuk terus menambah wang pelaburan hingga ia mencecah RM10,000,” katanya.

Bagaimanapun mangsa menyedari ditipu apabila wang keuntungan RM70,000 yang sepatutnya diterima gagal dibayar pada tarikh dijanjikan.

Susulan itu mangsa membuat laporan polis serta merujuk perkara itu dengan pihak Bank Negara untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:30 AM