MANGSA maut di lorong motosikal di Kilometer 5.2 Lebuhraya Persekutuan.
MANGSA maut di lorong motosikal di Kilometer 5.2 Lebuhraya Persekutuan.

Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan hanya mampu menahan sedih sejurus melihat mayat abang kandungnya yang maut akibat kemalangan motosikal.

Dalam kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa, Megat Ashraf Bin Abdul Hajat, 25, yang menaiki motosikal model Beneli Lornado TNT 600S dikatakan terbabas sebelum merempuh tiang lampu di Kilometer 5.2 Lebuhraya Persekutuan, di sini.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.05 petang dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di sana, didapati terdapat dua mangsa terbabit dalam kemalangan. Anggota APM segera melakukan pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa,” katanya.

Menurutnya, salah seorang mangsa disahkan maut akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian leher.

“Mangsa yang parah, Lai Tuek Seng, 48, mengalami patah kaki kirinya dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan maut itu membabitkan dua motosikal yang berada di lorong sama.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa (Megat) yang menunggang di lorong kanan jalan bergesel dengan seorang penunggang yang berada di kiri jalan.

“Akibatnya mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di kiri jalan dan maut serta-merta.

Kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:21 AM