ANGGOTA polis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar tiang lampu.
ANGGOTA polis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar tiang lampu.
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Seorang anggota polis bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya maut sejurus motosikal ditunggangnya merempuh tiang lampu di Jalan Taman Cempaka, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, mangsa, Koperal Tuan Mahmud Tuan Mamat, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah IPD Ampang Jaya menghala ke Kajang.

"Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar tiang lampu di bahu kiri jalan.

"Rempuhan itu menyebabkan motosikal berkenaan tercampak ke bahu kiri jalan, manakala mangsa terbaring di sebelah tiang lampu.

"Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Ampang bagi bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

"Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang, 11 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 4:04 PM