KEADAAN motosikal mangsa yang merempuh belakang MPV, semalam.
KEADAAN motosikal mangsa yang merempuh belakang MPV, semalam.
Nadzreen Shah Mat Salim


Serdang: Seorang anggota polis bantuan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang rosak di lorong kecemasan di Kilometer 6.4 Lebuhraya Besraya berhampiran Plaza Tol Mines, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi, Abd Hisham Ahmad, 48, menunggang Yamaha Lagenda dari Kajang menghala ke pusat bandar sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak menyedari Toyota Avanza yang berhenti di lorong kecemasan.

“Mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar belakang kenderaan itu.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong tengah dan mengakibatkan MPV berkenaan remuk di bahagian belakang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui terbaring di lorong tengah dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, pemandu MPV itu tidak cedera.

“Mayat dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:13 AM