LELAKI  tempatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas melanggar tiang lampu kanan jalan dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru - Gelang Patah - Pendas, Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI tempatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas melanggar tiang lampu kanan jalan dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru - Gelang Patah - Pendas, Iskandar Puteri, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini


PADAH melanggar isyarat lampu merah, lelaki tempatan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu melanggar tiang lampu kanan jalan dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Johor Bahru - Gelang Patah - Pendas, di Iskandar Puteri, malam tadi.

Dalam nahas 8.30 malam itu, mangsa, Mohamad Shafiq Sahar, 29, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku membabitkan penunggang motosikal dan dua van.

Menurutnya, penunggang motosikal dari arah Gelang Patah menghala ke Lima Kedai dan apabila tiba di lokasi (simpang empat), mangsa melanggar lampu isyarat merah.

“Mangsa yang menunggang Yamaha LC kemudiannya melanggar tepi kiri van PLACER-X dan sebuah lagi van Jenis Toyota Hiace yang berada di belakang van pertama.

“Mangsa kemudian terbabas dan merempuh tiang lampu di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kedua-dua pemandu van dari arah Kota Iskandar menghala Taman Nusantara, di sini, mengalami kecederaan.

Katanya, pemandu van PLACER-X cedera pada bahagian dada dan kaki, manakala pemandu lelaki Toyota Hiace berusia 68 tahun patah tangan kanan serta cedera pada bahagian kaki.

“Mayat penunggang motosikal dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:55 AM